CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

aku gadis bunga

aku gadis bunga

mukadimah kata


Perjalanan Hidup Menuju Abadi~

Daisypath Happy Birthday tickers

Friday, August 24, 2012

cerita pendek : sahabat


CERPEN : SAHABAT

                “Adnin!” aku dengar seseorang melaung namaku. Segera aku berpaling. Aku lihat Zahra sedang berjalan di koridor kelas menuju ke arahku.
                “Adnin…  jom teman aku pergi bilik seni kejap,” Zahra berkata lalu terus memaut lenganku supaya mengikuti langkahnya yang tergesa-gesa menuju ke bilik seni.
                “Tapi, aku…..” belum sempat aku berkata apa, kata-kataku sudah dipotong Zahra. “Adnin, please……” Zahra merayu. Lebih kepada merengek. Aku paling tidak suka orang yang suka merengek. Yang menghairankan aku, kenapa perangai Zahra berubah? Apa yang pasti, orang yang berada di hadapanku ini seolah-olah bukan Zahra! Zahra tidak berperangai keanak-akan. Bertahun-tahun mengenalinya cukup untuk aku mengenali sifat peribadinya. Tidak sihatkah dia, hari ini?
                Zahra terus menarikku mengikuti langkahnya. Mulutku pula seolah terkunci untuk memberitahunya bahawa aku punya agenda lain. Aku perlu menghadiri mesyuarat Persatuan Bahasa Inggeris Tahunan. Selaku naib pengerusi persatuan, aku wajib hadir. Entah mengapa, lidahku terkelu untuk mengecewakan Zahra. Selama aku bersahabat dengannya, aku berusaha untuk menjaga hatinya. Bagiku, dia sahabatku dunia akhirat.
                Aku terus membuntuti Zahra. “Adnin, kau nak pergi mana balik sekolah nanti?” Zahra bertanya kepadaku.
                “Balik rumah terus..” jawabku.
                “Kau teman aku pergi kedai buku kejap balik sekolah nanti…”
                Pulak? Sekarang bilik seni, kejap lagi kedai buku pulak? Lepas ni apa? Syurga? Sakit benar hatiku.
                “Mama aku suruh aku balik awal….” Aku mencipta alasan. Sebenarnya kalau aku nak temankan Zahra pergi kedai buku tu, boleh… tapi aku sedang sakit hati dengannya. Aku tidak tahu mengapa aku rasa begini. Rasa rimas dan meluat itu tiba-tiba sahaja terbit dari hati ini.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

“Adnin! Kenapa awak tak hadir mesyuarat kelmarin?” Atiq yang selaku pengerusi  Persatuan Bahasa Inggeris terus memarahiku. Aku hanya menundukkan kepalaku.
                “Maaf, saya ada hal….” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, kata-kataku sudah dipotong. “Hal apa? Ada hal lain yang lagi penting ke? Awak sendiri dah tahu yang ahli penting wajib hadir mesyuarat tahunan kelmarin! Semua dah sedia maklum fasal mesyuarat tahunan tu seminggu yang lepas. Hal apa yang membuatkan awak tak boleh hadir? Awak tahu tak, disebabkan awak tak hadir kelmarin, saya yang kena jawab dengan Cikgu Aina!” marah Atiq.
                Aku terkedu. Aku belum sempat berkata apa-apa pun tadi. Tapi, kalau aku diberi peluang untuk memberi penjelasan, penjelasan apa yang harus aku beri? Aku tidak dapat hadir mesyuarat kelmarin kerana aku menemani Zahra ke bilik seni, begitu? Penjelasan yang tidak munasabah!
                “Saya minta maaf sangat-sangat… saya memang ada hal penting kelmarin.. Lain kali saya takkan buat macam ni lagi!” janjiku bersungguh-sungguh.
                “Lain kali? Bilanya lain kali? Kalau awak rasa awak tak mampu nak pangku jawatan ni, baik awak letak jawatan saja dan serahkan jawatan itu kepada orang yang lebih layak, orang yang mampu memberi komitmen!” katanya tegas. Selepas itu, dia terus meninggalkan aku yang terpinga-pinga di dalam makmal bahasa.
                Saat ini aku rasa seperti mahu menjerit. Zahra!!! Semua ini salah kau!

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

 Sakit hati. Itu yang aku rasakan sekarang! Sudah dua minggu Zahra berperangai keanak-anakan.  Dua minggu sahaja sudah cukup membuat aku terseksa! Apa yang membuat aku bertambah geram, aku pasti terlibat dalam sesuatu masalah apabila melayan sikap keanak-anakannya. Apa yang membuat dia berubah secara drastik?
                Rasa geramku hanya kulepas di dalam diariku. Diari yang aku curahkan segala isi hatiku. Aku tidak membenarkan sesiapa pun memegang diariku apatah lagi membacanya!
                Zahra… kenapa kau berubah? Tidakkah kau tahu bahawa aku benci dengan perubahan kau?!

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Aku berjalan menuju ke kelas seorang diri. Dari tadi aku tidak lihat langsung kelibat Zahra. Hatiku sedikit lega.
                Saat aku tiba di pintu kelas, langkahku terhenti. Amarahku meluap-luap. Aku lihat Zahra sedang berdiri di dalam kelas. Hanya dia seorang di dalam kelas. Tangannya memegang diariku. Macam mana aku boleh tertinggal diari dekat kelas?
                Aku segera menerpa Zahra. Aku lihat wajah itu kelihatan lesu. Pucat. Sakitkah dia? Hatiku bertanya. Arghh! Pedulikan dia!
                Aku terus merampas dengan kasar diariku dari tangan Zahra. “Kenapa diari aku boleh ada pada kau?!” tempikku kasar. Zahra terkedu. Mungkin terkejut mengapa aku bertukar kasar terhadapnya.
                “Aku.. aku… aku…” lidah Zahra bagai terkelu untuk mengeluarkan kata-kata.
                “Apa?!” tempikku lagi. “Kau nak baca diari aku kan? Boleh tak kau hormatkan peribadi orang lain? Hah?”
                “Tak… aku tak baca langsung diari kau.. Aku Cuma…” belum sempat Zahra menghabiskan kata-katanya, aku terus memotong, “Cuma apa?!”
                “Cuma tak sempat nak baca? Begitu?!” tuduhku.
                “Adnin, dengar dulu apa yang aku nak cakap..” Zahra menyentuh lembut bahuku. Segera kutepis tangannya. “Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa pun!”
                “Adnin…”
                “Aku dah tak tahan lagi! Kenapa perangai kau macam ni? Kau berubah!” jerkahku.
                “Berubah? Aku berubah macam mana?” Zahra bertanya lembut. Aku lihat air mata bergenang di tubir matanya. “Sebelum ni, aku boleh terima kau seadanya.. sekarang aku rasa tak! Sebab aku benci perangai kau! Aku benci tahu tak?! Sejak bila perangai kau macam budak-budak? Tak matang! Sebelum ni kau okey aje!” kataku dengan kasar.
                “Lagi satu, apesal kau ambil diari aku? Kau sendiri tahu yang aku tak suka orang kacau barang aku terutama sekali diari aku!” kataku lagi.
                “Adnin….” Zahra sudah mengalirkan air matanya. Sekarang aku rasa puas, puas sangat kerana sudah lepaskan rasa geramku. Tanpa menunggu lagi aku terus pergi dari situ.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Sejak kejadian itu, aku tidak lagi bercakap dengan Zahra. Sejak kejadian itu persahabatan kami seolah-olah terputus! Adakalanya Zahra cuba bercakap denganku tetapi aku terlebih dahulu melarikan diri daripadanya. Sebulan kami begitu. Seminggu sebelum peperiksaan SPM, Zahra tidak hadirkan diri kesekolah. Aku tidak ambil pusing tentang hal itu. Sehingga kertas terakhir peperiksaan SPM, Zahra tetap tidak hadir ke sekolah.
                Suatu hari… aku duduk di salah sebuah bangku yang disediakan di taman rekreasi ini.
                “Adnin! Lamanya tak jumpa awak!” Nafisa, rakan sekelasku dulu tiba-tiba sahaja menegurku. Siapa sangka kami akan berjumpa di sini?
                “Fisa, gembiranya dapat jumpa awak!” aku bersalaman dengannya.
                “Saya dah lama cari awak! Saya contact phone tapi tak dapat! Sebab saya ada barang amanah nak beri pada awak,” Nafisa mengambil tempat di sebelahku.
                Keningku berkerut. “Barang amanah?”
                “Ya. Ada orang suruh saya beri barang ni pada awak…” Nafisa mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sebuah buku diari berwarna merah hati dipegangnya lalu dihulurkan kepadaku. Lantas aku menyambut hulurannya.
                “Buku apa ni? Siapa yang beri?” soalku. Nafisa hanya tersenyum.
                “Saya pun tak tahu.. Saya tak buka pun buku tu. Amanah orang…” Nafisa bangun dari duduknya. “Okeylah, saya minta diri dulu.. Jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” Nafisa bersalaman denganku dan berlalu pergi dari situ.
                Buku apa pula ni? Desis hatiku. Segera kubuka. Kulihat isinya. Sebuah diari! Catatan hati seseorang… dan seseorang itu ialah…. Zahra! Aku terus membaca isinya.
                Assalamualaikum, diari..
                Hari ini, aku rasa perjalanan hidupku terlalu singkat! Doktor Aidil mengesahkan yang aku menghidap barah otak. Mengapa ujian seberat ini harus kutanggung? Aku masih mentah! Aku masih tidak faham erti kehidupan. Di usia aku selalunya kehidupan seseorang itu bermula! Tapi aku, kehidupan baru sahaja hendak bermula, tapi  seolah-olah tidak sabar untuk dihentikan. Aku hanya Fatimah Az-zahra yang terlalu lemah dan tidak berdaya. Mama dan abah ingin menghantarku untuk berubat ke Jerman. Untuk apa? Sakitku ini sudah di tahap yang terakhir! Tiada harapan untuk aku sembuh. Adnin… apa yang harus aku katakan padanya? Sekarang aku hanya perlu menunggu. Menunggu waktu di mana rohku akan terpisah dari jasadku. Mungkin saat-saat begini akan kuhabiskan bersama Adnin? Aku sedar sebelum ini aku cuba berlagak matang dihadapannya. Mungkin aku perlu lebih mesra dengannya?
                Lebih mesra? Jadi sebab itulah Zahra bersikap keanak-anakan denganku? Ya Allah, kalau aku tahu bahawa Zahra sedang bertarung dengan maut sekarang ini, pasti aku akan menyokongnya! Aku teruskan lagi bacaanku. Aku selak muka surat seterusnya.
Aku tak ingin orang lain tahu tentang penyakitku! Biarlah keluargaku sahaja yang tahu. Aku tak ingin dilayan bagai orang sakit yang sudah tidak sabar mahu mati! Biarlah aku nikmati sisa hidup aku dengan bahagia. Silapku juga kerana tidak mendapat pengesahan doktor sejak awal lagi tentang sakit yang selalu kualami. Aku kira sakit kepala yang aku alami cuma sakit kepala biasa kerana aku memang sudah sedia maklum bahawa aku ini menghidap migraine.Maafkan aku, Adnin kerana merahsiakan semua ini. Aku terpaksa.
Yang ikhlas, Zahra.
                Terasa kabur kelopak mataku. Air mataku mengalir. Segera kuseka air mataku. Aku buka muka surat seterusnya. Aku perlu tahu semua isi hati Zahra!

                Assalamualaikum, diari…       
                Sesungguhnya aku tulis coretan kali ini dengan linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir. Aku sedih sangat!
                Aku dapati ada beberapa kesan tompokan air yang telah kering pada muka surat ini. Aku pati ini air mata Zahra. Air mata seorang sahabat. Ya Allah, kejamnya aku!
Hari ini, hati aku amat tergores. Aku tidak menyangka bahawa Adnin menyimpan rasa marahnya terhadapku di dalam hati. Aku cuba melakukan sebaik mungkin! Tetapi dia salah sangka. Tadi, di kelas, aku lihat mejanya bersepah. Aku tolong kemaskan. Aku lihat ada sebuah buku di atas mejanya. Aku ambil buku itu. Tidak terniat langsung di hatiku untuk membuka buku itu. Tiba-tiba sahaja Adnin masuk ke dalam kelas. Dia mengira bahawa aku ingin membaca buku itu yang ternyata diarinya! Langsung aku tidak tahu…
                Aku tersentak. Aku bersalah dengan Zahra!
Pada waktu itu juga, dia meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadapku yang selama ini disimpan di dalam hati. Aku hanya tahu menangis sahaja waktu itu! Adnin, aku tak salah!
Yang ikhlas, Zahra.
                Ya Allah! Aku fitnah Zahra! Zahra………
                Assalamualaikum, diari…
                Sudah sebulan Adnin tidak mahu bercakap denganku. Persahabatan kami seolah-olah terputus sahaja setelah kejadian itu! Aku cuba untuk berbaik semula tetapi Adnin selalu sahaja melarikan diri dariku. Kini, aku terlantar di atas katil hospital dan hanya menunggu masa sahaja. Adnin membenciku, mama dan abah pula melayan aku seperti orang sakit yang tidak sabar mahu mati! Itulah perkara yang paling tidak aku ingini, tetapi sudah menjadi realiti! Peperiksaan penting yang akan menentukan hala tujuku juga akan aku tinggalkan. Peperiksaan itu lagi dua minggu! Aku tidak punya masa depan lagi! Entahlah, aku rasa waktu aku telah hampir saja…
Yang ikhlas, Zahra.
                Perlahan-lahan aku tutup diari itu. Zahra… maafkan aku. Semua ini salahku!

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Aku bergegas ke wad di mana Zahra ditempatkan. Setelah mendapat maklumat di hospital mana Zahra ditempatkan daripada Nafisa, aku terus bergegas ke sini.
                Aku buka pintu bilik wad persendirian ini. Aku lihat Zahra terbaring lesu di atas katil pesakit. Alat sokongan hayat yang membantu Zahra untuk terus bertahan lagi. Aku duduk di kerusi yang berada di sebelah katil. Perlahan-lahan tangan Zahra kuraih.
                “Zah, aku sayang kau.. Kau sahabat aku! Jangan tinggalkan aku…” lirih suaraku berkata. Tangan Zahra kugenggam erat. Selepas itu, kelopak mata Zahra terbuka perlahan-lahan. Air mataku mengalir.
                Wajah pucat Zahra tersenyum. “Adnin?”
                “Ya, Zahra.. Aku ni..” kataku sebak. Air mataku mengalir lagi. “Ad..nin…. aku ni dah tak lama dah…” Zahra berkata lemah.
                “Zahra, jangan cakap macam tu, okey? Ajal maut semua di tangan Allah,” aku mengeratkan lagi genggaman tanganku pada Zahra. Beratnya untuk aku lepaskan dia!
                “Aku cakap.. benda betul… Doktor pun.. dah tak larat.. nak rawat aku…” lemah suara Zahra. Air matanya turut mengalir.
                “Syyyy.. Dah.. Jangan cakap dah…” aku seka air matanya. “Zah, aku nak minta maaf dengan kau, aku salah..” sebak aku berkata. “Aku… dah lama.. maafkan…” Zahra tersenyum. Disebalik senyuman itu aku tahu ada sakit yang dia tanggung.
                Suara Zahra sudah tersekat-sekat. Dadanya naik turun. Aku panik. “Zah, jangan tinggalkan aku…” bisikku di telinganya. “Aku… mesti.. pergi..” Zahra berkata dalam nada yang tersekat-sekat. Air mataku mengalir lebih laju. Sungguh, aku tidak ingin dia pergi! Aku pegang pipinya.
                Dadanya berombak lagi. “As…sala..mualai…kum…Ad..nin…” kata Zahra tersekat-sekat.
                “Allah…. Allah….” Bibir Zahra terkumat-kamit menyebut kalimat itu. Aku membisikkan kalimah syahadah di telinganya.
                “Allah…” sebaik sahaja menghabiskan kalimah itu, perlahan-lahan mata Zahra tertutup. Mata itu akan tertutup buat selama-lamanya.
                Aku rasa seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Zahra pergi? Perginya takkan kembali. Perginya buat selama-lamanya. Aku menangis teresak-esak di sisi jasad Zahra yang sudah kaku. Zahra, terlalu banyak kau menangis untuk aku…

Zahra,
Bukan pintaku ingin melihat air matamu, sesungguhnya itulah yang aku tidak mahu.
Janganlah ada rasa sedih di hatimu, kerana itu bukan niatku..
Membuatmu sedih memberiku sejuta pilu, masihkah ada maaf untukku?
Maafkan aku Zahra….
                Semoga kau tenang di sana, Fatimah Az-zahra… Ukhuwah fillah abadan abada…
-TAMAT-
p/s: kisah ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati…. Hanya rekaan semata-mata… Yang benar, hamba Allah…
                                                                                Hasil nukilan : Hidayah Zaki

4 comments:

Mungkin anda berminat..