CERPEN :
SAHABAT
“Adnin!” aku dengar seseorang
melaung namaku. Segera aku berpaling. Aku lihat Zahra sedang berjalan di
koridor kelas menuju ke arahku.
“Adnin… jom teman aku pergi bilik seni kejap,” Zahra
berkata lalu terus memaut lenganku supaya mengikuti langkahnya yang
tergesa-gesa menuju ke bilik seni.
“Tapi, aku…..” belum sempat aku
berkata apa, kata-kataku sudah dipotong Zahra. “Adnin, please……” Zahra merayu.
Lebih kepada merengek. Aku paling tidak suka orang yang suka merengek. Yang
menghairankan aku, kenapa perangai Zahra berubah? Apa yang pasti, orang yang
berada di hadapanku ini seolah-olah bukan Zahra! Zahra tidak berperangai
keanak-akan. Bertahun-tahun mengenalinya cukup untuk aku mengenali sifat
peribadinya. Tidak sihatkah dia, hari ini?
Zahra terus menarikku mengikuti
langkahnya. Mulutku pula seolah terkunci untuk memberitahunya bahawa aku punya
agenda lain. Aku perlu menghadiri mesyuarat Persatuan Bahasa Inggeris Tahunan.
Selaku naib pengerusi persatuan, aku wajib hadir. Entah mengapa, lidahku
terkelu untuk mengecewakan Zahra. Selama aku bersahabat dengannya, aku berusaha
untuk menjaga hatinya. Bagiku, dia sahabatku dunia akhirat.
Aku terus membuntuti Zahra.
“Adnin, kau nak pergi mana balik sekolah nanti?” Zahra bertanya kepadaku.
“Balik rumah terus..” jawabku.
“Kau teman aku pergi kedai buku
kejap balik sekolah nanti…”
Pulak? Sekarang bilik seni,
kejap lagi kedai buku pulak? Lepas ni apa? Syurga? Sakit benar hatiku.
“Mama aku suruh aku balik
awal….” Aku mencipta alasan. Sebenarnya kalau aku nak temankan Zahra pergi
kedai buku tu, boleh… tapi aku sedang sakit hati dengannya. Aku tidak tahu
mengapa aku rasa begini. Rasa rimas dan meluat itu tiba-tiba sahaja terbit dari
hati ini.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
“Adnin!
Kenapa awak tak hadir mesyuarat kelmarin?” Atiq yang selaku pengerusi Persatuan Bahasa Inggeris terus memarahiku.
Aku hanya menundukkan kepalaku.
“Maaf, saya ada hal….” Belum sempat
aku menghabiskan ayatku, kata-kataku sudah dipotong. “Hal apa? Ada hal lain
yang lagi penting ke? Awak sendiri dah tahu yang ahli penting wajib hadir
mesyuarat tahunan kelmarin! Semua dah sedia maklum fasal mesyuarat tahunan tu
seminggu yang lepas. Hal apa yang membuatkan awak tak boleh hadir? Awak tahu
tak, disebabkan awak tak hadir kelmarin, saya yang kena jawab dengan Cikgu
Aina!” marah Atiq.
Aku terkedu. Aku belum sempat
berkata apa-apa pun tadi. Tapi, kalau aku diberi peluang untuk memberi
penjelasan, penjelasan apa yang harus aku beri? Aku tidak dapat hadir mesyuarat
kelmarin kerana aku menemani Zahra ke bilik seni, begitu? Penjelasan yang tidak
munasabah!
“Saya minta maaf sangat-sangat…
saya memang ada hal penting kelmarin.. Lain kali saya takkan buat macam ni
lagi!” janjiku bersungguh-sungguh.
“Lain kali? Bilanya lain kali?
Kalau awak rasa awak tak mampu nak pangku jawatan ni, baik awak letak jawatan
saja dan serahkan jawatan itu kepada orang yang lebih layak, orang yang mampu
memberi komitmen!” katanya tegas. Selepas itu, dia terus meninggalkan aku yang
terpinga-pinga di dalam makmal bahasa.
Saat ini aku rasa seperti mahu
menjerit. Zahra!!! Semua ini salah kau!
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Sakit hati. Itu yang aku rasakan sekarang!
Sudah dua minggu Zahra berperangai keanak-anakan. Dua minggu sahaja sudah cukup membuat aku
terseksa! Apa yang membuat aku bertambah geram, aku pasti terlibat dalam
sesuatu masalah apabila melayan sikap keanak-anakannya. Apa yang membuat dia
berubah secara drastik?
Rasa geramku hanya kulepas di
dalam diariku. Diari yang aku curahkan segala isi hatiku. Aku tidak membenarkan
sesiapa pun memegang diariku apatah lagi membacanya!
Zahra… kenapa kau berubah?
Tidakkah kau tahu bahawa aku benci dengan perubahan kau?!
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Aku
berjalan menuju ke kelas seorang diri. Dari tadi aku tidak lihat langsung
kelibat Zahra. Hatiku sedikit lega.
Saat aku tiba di pintu kelas,
langkahku terhenti. Amarahku meluap-luap. Aku lihat Zahra sedang berdiri di
dalam kelas. Hanya dia seorang di dalam kelas. Tangannya memegang diariku.
Macam mana aku boleh tertinggal diari dekat kelas?
Aku segera menerpa Zahra. Aku lihat
wajah itu kelihatan lesu. Pucat. Sakitkah dia? Hatiku bertanya. Arghh!
Pedulikan dia!
Aku terus merampas dengan kasar
diariku dari tangan Zahra. “Kenapa diari aku boleh ada pada kau?!” tempikku
kasar. Zahra terkedu. Mungkin terkejut mengapa aku bertukar kasar terhadapnya.
“Aku.. aku… aku…” lidah Zahra
bagai terkelu untuk mengeluarkan kata-kata.
“Apa?!” tempikku lagi. “Kau nak
baca diari aku kan? Boleh tak kau hormatkan peribadi orang lain? Hah?”
“Tak… aku tak baca langsung
diari kau.. Aku Cuma…” belum sempat Zahra menghabiskan kata-katanya, aku terus
memotong, “Cuma apa?!”
“Cuma tak sempat nak baca?
Begitu?!” tuduhku.
“Adnin, dengar dulu apa yang aku
nak cakap..” Zahra menyentuh lembut bahuku. Segera kutepis tangannya. “Sudah!
Aku tak nak dengar apa-apa pun!”
“Adnin…”
“Aku dah tak tahan lagi! Kenapa
perangai kau macam ni? Kau berubah!” jerkahku.
“Berubah? Aku berubah macam
mana?” Zahra bertanya lembut. Aku lihat air mata bergenang di tubir matanya.
“Sebelum ni, aku boleh terima kau seadanya.. sekarang aku rasa tak! Sebab aku
benci perangai kau! Aku benci tahu tak?! Sejak bila perangai kau macam
budak-budak? Tak matang! Sebelum ni kau okey aje!” kataku dengan kasar.
“Lagi satu, apesal kau ambil
diari aku? Kau sendiri tahu yang aku tak suka orang kacau barang aku terutama
sekali diari aku!” kataku lagi.
“Adnin….” Zahra sudah
mengalirkan air matanya. Sekarang aku rasa puas, puas sangat kerana sudah
lepaskan rasa geramku. Tanpa menunggu lagi aku terus pergi dari situ.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Sejak
kejadian itu, aku tidak lagi bercakap dengan Zahra. Sejak kejadian itu
persahabatan kami seolah-olah terputus! Adakalanya Zahra cuba bercakap denganku
tetapi aku terlebih dahulu melarikan diri daripadanya. Sebulan kami begitu.
Seminggu sebelum peperiksaan SPM, Zahra tidak hadirkan diri kesekolah. Aku
tidak ambil pusing tentang hal itu. Sehingga kertas terakhir peperiksaan SPM,
Zahra tetap tidak hadir ke sekolah.
Suatu hari… aku duduk di salah
sebuah bangku yang disediakan di taman rekreasi ini.
“Adnin! Lamanya tak jumpa awak!”
Nafisa, rakan sekelasku dulu tiba-tiba sahaja menegurku. Siapa sangka kami akan
berjumpa di sini?
“Fisa, gembiranya dapat jumpa
awak!” aku bersalaman dengannya.
“Saya dah lama cari awak! Saya contact
phone tapi tak dapat! Sebab saya ada barang amanah nak beri pada awak,” Nafisa
mengambil tempat di sebelahku.
Keningku berkerut. “Barang
amanah?”
“Ya. Ada orang suruh saya beri
barang ni pada awak…” Nafisa mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sebuah
buku diari berwarna merah hati dipegangnya lalu dihulurkan kepadaku. Lantas aku
menyambut hulurannya.
“Buku apa ni? Siapa yang beri?”
soalku. Nafisa hanya tersenyum.
“Saya pun tak tahu.. Saya tak
buka pun buku tu. Amanah orang…” Nafisa bangun dari duduknya. “Okeylah, saya
minta diri dulu.. Jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” Nafisa bersalaman
denganku dan berlalu pergi dari situ.
Buku apa pula ni? Desis hatiku.
Segera kubuka. Kulihat isinya. Sebuah diari! Catatan hati seseorang… dan
seseorang itu ialah…. Zahra! Aku terus membaca isinya.
Assalamualaikum, diari..
Hari ini, aku rasa perjalanan
hidupku terlalu singkat! Doktor Aidil mengesahkan yang aku menghidap barah
otak. Mengapa ujian seberat ini harus kutanggung? Aku masih mentah! Aku masih tidak
faham erti kehidupan. Di usia aku selalunya kehidupan seseorang itu bermula!
Tapi aku, kehidupan baru sahaja hendak bermula, tapi seolah-olah tidak sabar untuk dihentikan. Aku
hanya Fatimah Az-zahra yang terlalu lemah dan tidak berdaya. Mama dan abah
ingin menghantarku untuk berubat ke Jerman. Untuk apa? Sakitku ini sudah di
tahap yang terakhir! Tiada harapan untuk aku sembuh. Adnin… apa yang harus aku
katakan padanya? Sekarang aku hanya perlu menunggu. Menunggu waktu di mana
rohku akan terpisah dari jasadku. Mungkin saat-saat begini akan kuhabiskan
bersama Adnin? Aku sedar sebelum ini aku cuba berlagak matang dihadapannya.
Mungkin aku perlu lebih mesra dengannya?
Lebih mesra? Jadi sebab itulah
Zahra bersikap keanak-anakan denganku? Ya Allah, kalau aku tahu bahawa Zahra
sedang bertarung dengan maut sekarang ini, pasti aku akan menyokongnya! Aku
teruskan lagi bacaanku. Aku selak muka surat seterusnya.
Aku tak
ingin orang lain tahu tentang penyakitku! Biarlah keluargaku sahaja yang tahu.
Aku tak ingin dilayan bagai orang sakit yang sudah tidak sabar mahu mati!
Biarlah aku nikmati sisa hidup aku dengan bahagia. Silapku juga kerana tidak
mendapat pengesahan doktor sejak awal lagi tentang sakit yang selalu kualami.
Aku kira sakit kepala yang aku alami cuma sakit kepala biasa kerana aku memang
sudah sedia maklum bahawa aku ini menghidap migraine.Maafkan aku, Adnin kerana
merahsiakan semua ini. Aku terpaksa.
Yang
ikhlas, Zahra.
Terasa kabur kelopak mataku. Air mataku
mengalir. Segera kuseka air mataku. Aku buka muka surat seterusnya. Aku perlu
tahu semua isi hati Zahra!
Assalamualaikum,
diari…
Sesungguhnya aku tulis coretan
kali ini dengan linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir. Aku sedih
sangat!
Aku dapati ada beberapa kesan
tompokan air yang telah kering pada muka surat ini. Aku pati ini air mata
Zahra. Air mata seorang sahabat. Ya Allah, kejamnya aku!
Hari
ini, hati aku amat tergores. Aku tidak menyangka bahawa Adnin menyimpan rasa
marahnya terhadapku di dalam hati. Aku cuba melakukan sebaik mungkin! Tetapi
dia salah sangka. Tadi, di kelas, aku lihat mejanya bersepah. Aku tolong
kemaskan. Aku lihat ada sebuah buku di atas mejanya. Aku ambil buku itu. Tidak
terniat langsung di hatiku untuk membuka buku itu. Tiba-tiba sahaja Adnin masuk
ke dalam kelas. Dia mengira bahawa aku ingin membaca buku itu yang ternyata
diarinya! Langsung aku tidak tahu…
Aku tersentak. Aku bersalah
dengan Zahra!
Pada
waktu itu juga, dia meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadapku yang selama
ini disimpan di dalam hati. Aku hanya tahu menangis sahaja waktu itu! Adnin,
aku tak salah!
Yang
ikhlas, Zahra.
Ya Allah! Aku fitnah Zahra!
Zahra………
Assalamualaikum, diari…
Sudah sebulan Adnin tidak mahu
bercakap denganku. Persahabatan kami seolah-olah terputus sahaja setelah kejadian
itu! Aku cuba untuk berbaik semula tetapi Adnin selalu sahaja melarikan diri
dariku. Kini, aku terlantar di atas katil hospital dan hanya menunggu masa
sahaja. Adnin membenciku, mama dan abah pula melayan aku seperti orang sakit
yang tidak sabar mahu mati! Itulah perkara yang paling tidak aku ingini, tetapi
sudah menjadi realiti! Peperiksaan penting yang akan menentukan hala tujuku
juga akan aku tinggalkan. Peperiksaan itu lagi dua minggu! Aku tidak punya masa
depan lagi! Entahlah, aku rasa waktu aku telah hampir saja…
Yang
ikhlas, Zahra.
Perlahan-lahan aku tutup diari
itu. Zahra… maafkan aku. Semua ini salahku!
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Aku
bergegas ke wad di mana Zahra ditempatkan. Setelah mendapat maklumat di hospital
mana Zahra ditempatkan daripada Nafisa, aku terus bergegas ke sini.
Aku buka pintu bilik wad
persendirian ini. Aku lihat Zahra terbaring lesu di atas katil pesakit. Alat
sokongan hayat yang membantu Zahra untuk terus bertahan lagi. Aku duduk di kerusi
yang berada di sebelah katil. Perlahan-lahan tangan Zahra kuraih.
“Zah, aku sayang kau.. Kau
sahabat aku! Jangan tinggalkan aku…” lirih suaraku berkata. Tangan Zahra
kugenggam erat. Selepas itu, kelopak mata Zahra terbuka perlahan-lahan. Air
mataku mengalir.
Wajah pucat Zahra tersenyum.
“Adnin?”
“Ya, Zahra.. Aku ni..” kataku
sebak. Air mataku mengalir lagi. “Ad..nin…. aku ni dah tak lama dah…” Zahra
berkata lemah.
“Zahra, jangan cakap macam tu,
okey? Ajal maut semua di tangan Allah,” aku mengeratkan lagi genggaman tanganku
pada Zahra. Beratnya untuk aku lepaskan dia!
“Aku cakap.. benda betul… Doktor
pun.. dah tak larat.. nak rawat aku…” lemah suara Zahra. Air matanya turut
mengalir.
“Syyyy.. Dah.. Jangan cakap
dah…” aku seka air matanya. “Zah, aku nak minta maaf dengan kau, aku salah..”
sebak aku berkata. “Aku… dah lama.. maafkan…” Zahra tersenyum. Disebalik
senyuman itu aku tahu ada sakit yang dia tanggung.
Suara Zahra sudah
tersekat-sekat. Dadanya naik turun. Aku panik. “Zah, jangan tinggalkan aku…”
bisikku di telinganya. “Aku… mesti.. pergi..” Zahra berkata dalam nada yang
tersekat-sekat. Air mataku mengalir lebih laju. Sungguh, aku tidak ingin dia
pergi! Aku pegang pipinya.
Dadanya berombak lagi.
“As…sala..mualai…kum…Ad..nin…” kata Zahra tersekat-sekat.
“Allah…. Allah….” Bibir Zahra
terkumat-kamit menyebut kalimat itu. Aku membisikkan kalimah syahadah di
telinganya.
“Allah…” sebaik sahaja
menghabiskan kalimah itu, perlahan-lahan mata Zahra tertutup. Mata itu akan
tertutup buat selama-lamanya.
Aku rasa seperti tidak berpijak
di bumi yang nyata. Zahra pergi? Perginya takkan kembali. Perginya buat
selama-lamanya. Aku menangis teresak-esak di sisi jasad Zahra yang sudah kaku.
Zahra, terlalu banyak kau menangis untuk aku…
Zahra,
Bukan
pintaku ingin melihat air matamu, sesungguhnya itulah yang aku tidak mahu.
Janganlah
ada rasa sedih di hatimu, kerana itu bukan niatku..
Membuatmu
sedih memberiku sejuta pilu, masihkah ada maaf untukku?
Maafkan
aku Zahra….
Semoga kau tenang di sana,
Fatimah Az-zahra… Ukhuwah fillah abadan abada…
-TAMAT-
p/s: kisah
ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati…. Hanya rekaan semata-mata…
Yang benar, hamba Allah…
Hasil
nukilan : Hidayah Zaki